Dalam Derita Ada Bahagia
Abu Saif | 12/07/2007 | 10:50 pm | 12,827 views | Print Print | Email Email
Imad sentiasa ceria. Alhamdulillah
Marah ada, geram pun ada. Tetapi lega. Lega kerana semuanya sudah berakhir.
Setelah lebih dua jam menunggu di LCCT, pembantu rumah yang sepatutnya pulang semula ke Malaysia selepas dua minggu bercuti, tidak muncul. Tidak menaiki pesawat.
Memang marah. Menyusahkan…
Selepas 5 jam beratur di Kedutaan Indonesia untuk memaklumkan cuti beliau ke Indonesia, permit kerjanya diperbaharui untuk tahun kedua, dan senang-senang sahaja beliau pergi sebegitu rupa. Seperti kebanyakan yang lain…
Tetapi lega. Saya gembira. Selama setahun mempunyai pembantu rumah, saya sungguh tidak selesa. Saya sukar pulang ke rumah, hilang sebahagian besar apa yang saya perlukan di sebuah rumah.
Satu-satunya sebab mengapa saya bersetuju dengan permintaan isteri untuk mengambil pembantu rumah, ialah agar kami berdua tidak terkejar-kejar balik ke rumah. Itu sahaja.
Pernah sekali, kapal terbang saya dari Kota Kinabalu (Air Asia, apa lagi) lewat tiba di LCCT. Hampir 3 jam lewatnya dari jadual asal, isteri saya oncall.. dan akhirnya saya terpaksa ke rumah cikgu di tengah malam untuk mengambil anak-anak saya yang sedang nyenyak tidur bergelimpangan di ruang tamu.
Pemandangan yang membunuh jiwa seorang bapa.
Apa-apa pun, saya dan isteri menarik nafas lega. Moga ketidak pulangan beliau malam tadi merupakan yang terbaik untuk semua.
Saya marah bercampur lega. Hasilnya adalah rasa gementar.
Cabaran… bukan masalah. Fikir positif, tetapi kepala berat memikirkannya.
Pagi ini isteri saya terpaksa sekali lagi mengambil emergency leave, untuk mencari nursery. Syukur ada nursery yang masih menerima. Cuma RM660 sebulan mesti disediakan.
Keluarga saya dari Ipoh bergegas datang ke Kuala Lumpur untuk membantu. Dan saya terkejar-kejar ke UIA untuk kelas pertama saya semester ini.
SAYA
Ya, saya seorang pelajar Master sepenuh masa. Subjeknya adalah Sejarah. Hari ini sahaja sudah hampir 100 muka surat saya terima untuk dibaca dalam tempoh seminggu. Selain itu, 4 buku mesti dibaca dalam seminggu untuk kajian seni bina Othmaniyyah di era Mimar Sinan.
3 hari seminggu saya ke kelas. Isnin, Khamis dan Jumaat. Selasa dan Rabu saya bertugas di IJN. Malam dan hujung minggu, pelbagai siri ceramah dan kuliah yang mesti disampaikan.
Isteri saya juga seorang pelajar Master Klinikal sepenuh masa. Ke arah untuk menjadi Doktor Pakar di bidang Perubatan Kecemasan. 3 tahun dari sekarang, Insya Allah.
Rotation semester ini adalah Paediatrik. Oncall 4 kali sebulan di samping research proposal beliau tentang radiasi peralatan scan di Wad Kecemasan yang perlu disiapkan.
Tiga anak, kecil jumlahnya berbanding sepuluh. Tetapi cukup besar untuk kombinasi ibu dan bapa seperti saya dan isteri.
Pulang sahaja dari LCCT, saya dan isteri duduk bersila menyemak segera jadual kami. 3 ceramah mesti dibatalkan serta merta kerana bertindih dengan jadual oncall isteri saya. Maafkan saya.
Muslim Overseas Camp bersama KYUEM, Eco Camp bersama KRIM, Peristiwa ‘07 di Perth Australia dan PUISI 2007 di Ireland, semuanya mesti disusun dengan teliti. Saya tahu isteri saya susah hati, harus tinggal sendirian di rumah selama musafir saya nanti. Maka seawal Julai, semuanya mesti dirancang dengan baik.
Terasa sesak dada, tetapi terimalah ia sebagai kehidupan.
Malam ini Imad tidur tanpa ummi. Hanya ada abi yang berselawat di dalam gelap, memohon Allah menguatkan semangat.
Selepas Imad terlelap, baju sekolah Yop mesti digosok. Pakaian mesti dimesin dan disidai.
Bawang dan cili untuk bihun goreng pagi esok, mesti disiapkan sebelum tidur.
Mohon ada kekuatan untuk membaca buku pada sisa-sisa nyawa sebelum melelapkan mata.
Suatu reformasi besar-besaran akan berlaku dalam hidup kami mulai hari ini.
Kepada Allah jua dipohonkan kesabaran.
Biar pun penat yang tidak terungkap oleh sebarang ayat, hati bahagia menyuap anak, memandikan mereka dan mengusap kepala dengan tangan yang menggerutu ini.
naurah.JPG
Mengapa saya tulis semua ini?
Supaya anak muda yang gatal bercinta di celah cita-cita dapat menampar pipi masing-masing agar celik mata melihat ke depan. Jika menolak zina pun jadi kepayahan, halau dirimu dari cinta dan perkahwinan. Bosan saya melihat jiwa lemah yang merengek-rengek meminta ihsan.
Jika mahu bercinta, jangan merancang hanya ke pelamin. Masukkan sekali urusan lampin.
Kerana rumahtangga bukan utopia Cloud 9. Ia adalah kombinasi suka dan duka.
Namun dalam derita tetap ada bahagia, itulah nikmat hidup berumahtangga. Medan memberi yang paling mulia.
ABU SAIF
No comments:
Post a Comment